Wednesday, August 20, 2008

Wira Mandala Hijau

Tajuk: Wira Mandala Hijau
Penyelenggara: Nor Azah Abdul Aziz & Rozlan Mohamed Noor
Tahun: 2008
M/S: 119
Terbitan: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Harga: RM17.00
Kategori: Kemasyarakatan
Bintang: **** (digalakkan sebagai rujukan bagi mereka yang ingin bergiat di dalam bidang penulisan)
Kredit: Antologi cerpen-cerpen yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007 bagi kategori Cerpen Remaja

Sinopsis Belakang:
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan melangsungkan kesinambungan iltizam memasyarakatkan sastera dan memartabatkan kedudukannya di peta tamadun bangsa. Menerusi Hadiah ini, Kumpulan Utusan memberi rangsangan menyuburkan pertumbuhan pengarang generasi baharu dan memupuk istiqamah pengarang mapan dalam menghasilkan karya yang segar, maju, berseni, dan tinggi mutunya.

Wira Mandala Hijau merupakan antologi sembilan buah karya yang telah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007 bagi Kategori Cerpen Remaja. Karya-karya tersebut merupakan hasil cipta pengarang generasi baharu, di samping pengarang kawakan.

Karya-karya yang termuat dalam antologi ini memperlihatkan pemikiran penulis yang semakin tajam menggarap isu yang pelbagai daripada perspektif berbeza dan sekali gus meluaskan horizon pemahaman dan penafsiran. Antara isu yang diangkat lewat karya-karya di dalam antologi ini ialah isu bahasa Melayu, pengisian dan semangat kemerdekaan warga remaja tanah air, masalah alam sekitar, nilai insani dan kekeluargaan. Isu yang pelbagai ini diadun dengan cermat dan mampu memperkasakan jati diri dan sahsiah pembaca khususnya remaja.

Wira Mandala Hijau yang menjadi judul antologi ini menyorot perjuangan primat mempertahankan tanah leluhur mereka daripada ancaman pihak luar. Perjuangan untuk mengekalkan warisan hutan ini ditonjolkan melalui watak Mon, iaitu binatang yang tinggal di dalam hutan yang sedang dipugar untuk pembangunan. Cerpen ini memugar kesedaran tentang kemusnahan alam dan keruntuhan nilai manusiawi.

Komen Darius:

Membaca antologi Wira Mandala Hijau memberikan satu macam kepuasan kepada Darius. Secara keseluruhannya, sembilan cerpen yang dimuatkan di dalam antologi ini ditulis oleh kombinasi penulis baru dan penulis yang sudah dikenali.

Tulisan Nasriah Abdul Salam bertajuk "Banglo Kolonial di Lot 152" mengundang senyum di bibir Darius. Mesejnya tajam dan bahasanya indah walaupun plotnya mudah. Kerisauan penduduk kampung terhadap penghuni banglo kolonial di Lot 152 membawa Tok Mat dan keluarganya menghampiri penghuni mat saleh tersebut. Latahan di akhir cerita menyebabkan pembaca tersenyum tetapi lebih penting lagi, latahan itu meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca.

Saifullizan Yahaya dengan kisah bertajuk "Cerita Sagita dan Sagupa" mengajak pembaca mengenal erti usaha dan peri pentingnya pengisian kemerdekaan. Kisah ini mampu menyemai keinsafan kepada pembaca, dan mengajak generasi muda untuk menyedari tentang nilai pengorbanan.

"Rumah Nurul Iman" karya Ghafirah Idris menyentuh isu HIV/AIDS menerusi watak utama kisah ini iaitu seorang gadis yang membesar bersama-sama adik-beradik angkatnya yang menghidapi HIV/AIDS. Terus-terang Darius berasa sebak di akhir kisah ini. Betapa besarnya pengorbanan yang dilakukan oleh seorang wanita untuk membesarkan dan memberikan pendidikan kepada anak-anak yang "terbuang" supaya mereka menjadi manusia yang berguna.

"Mamaku Menteri" yang ditulis oleh penulis yang tidak asing, Salina Ibrahim, menelurusi kisah seorang anak yang ibunya dilantik menjadi menteri. Kisah ini merungkai reaksi seorang anak apabila ibunya tiba-tiba berada di bawah spotlight dan juga penyesuaian yang terpaksa dilakukan terhadap perlantikan sebagai menteri.

Lim Swee Tin dengan kisahnya "Tiga Catatan di Tiga Perhentian" mengenengahkan kisah patriotisme dan perpaduan. Bila Darius membaca cerpen ini, Darius rasakan mesej yang disampaikan amat relevan dengan situasi generasi pascamerdeka hari ini. Mesej tentang kemerdekaan negara ini wajar dihayati oleh semua yang lahir selepas 1957.

Serunai Faqir menintakan kisah "Wira Mandala Hijau" yang menjadi tajuk antologi ini. Mesej "hijau" di dalam cerpen ini diolah dengan kreatif kerana watak-watak utamanya bukan manusia tetapi primat. Cerpen ini mengingatkan kita tentang pentingnya alam ini dipelihara dan bukannya dieksploitasi membabi-buta hanya atas nama pembangunan.

"Kalendar Baru Abang" hasil tulisan Tie Camar ialah satu lagi cerpen yang menyebabkan Darius menjadi sebak. Tema keinsafan menerusi watak Abang yang merupakan bekas Mat Rempit benar-benar menyebabkan air mata berlinang.

Dr Ilias Zaidi dengan karya bertajuk "Dunia di Pergelangan Tanganku" berlatarkan sebuah kisah kesukanan yang berlaku pada tahun 2057 apabila seorang anak tempatan bertanding di gelanggang keramat Wimbledon. Penulis menterjemahkan semangat "Malaysia Boleh" di dalam kisah yang digarapnya ini.

"Selamat Kembali Nurul Merdeka" tulisan Nasriah Abdul Salam ialah satu lagi kisah yang memupuk semangat cintakan tanah air. Betapa jauh pun seseorang itu merantau, tanah tumpah darah jualah yang istimewa. Kata-kata watak utama cerpen ini iaitu Nurul Merdeka menyimpulkan mesej yang hendak disampaikan. "Manja, senja di Malaysia dan Venice amat berlainan."

Bagi Darius, antologi Wira Mandala Hijau ini ialah satu panduan berguna buat sesiapa yang mahu menjadi penulis. Banyak yang boleh dipelajari daripada antologi ini. Kata orang, jika kita mahu belajar menulis, maka kita perlu banyak membaca. Dan antologi ini seharusnya menjadi bacaan wajib bagi mereka yang berminat di dalam bidang penulisan.

6 comments:

eLyZa™ said...

Thanks Darius.. eL kene beli neh..

Anonymous said...

Selamat berpuasa dan jemput ya ke blog resensi kami di kelapangan nanti ... dari team mandala resensi

eLyZa™ said...

terima kasih ^_^ -- selamat menyambut Ramadhan juga..

Anonymous said...

terima kasih, saudara
kerana membaca karangan saya yang tidak seberapa...mohon diberi teguran mana yang kurang.

nasriah abdul salam

ayie said...

sish... hee hee raye tahun ni mai umah ayie ok?

taiborkagawa said...

Harrah's Philadelphia Casino & Racetrack - JtmHub
Harrah's Philadelphia Casino & Racetrack is 순천 출장샵 conveniently located just minutes 익산 출장샵 from 대전광역 출장마사지 Philadelphia International Airport. 화성 출장샵 It is located at 7500 West Chester Blvd. 김천 출장샵