Tuesday, May 20, 2008

Bulan Berbisik - Samsiah Mohd Noor

Tajuk Novel : Bulan Berbisik
Tahun : 2007
Penulis : Samsiah Mohd Noor
Kategori : Kekeluargaan
Harga : RM19.900
Tebal : 512 m/s
Rating : * * * * (4)

Sinopsis Belakang Kulit Buku :

BULAN BERBISIK memaparkan perjuangan dua orang wanita. Pertama: Seorang isteri bernama Khadijah dalam melayari bahtera perkahwinan. Kedua: Seorang gadis mualaf bernama Aima Adawiyah yang mencari erti sebuah kehidupan baru..

Khadijah seorang isteri yang sangat setia telah secara tidak sengaja terbaca e-mel-e-mel cinta suaminya (Khaled Irfan) pada Aima. Sejak kecil, Aima (Wong Ai Leen) dibayangi oleh idolanya iaitu Andak Rabiah yang selalu membacakan syair Rabiah al-Adawiyah. Dia mengenali agama Islam daripada Andak Rabiah dan berusaha untuk memeluk agama tersebut apabila dewasa.

Namun, dalam pencariannya dia telah terperangkap secara tidak sengaja dalam retorik cinta mainan Khaled Irfan.

Khadijah pula dalam usaha menyelongkar kcurangan suami, terpikat dengan syair-syair nukilan Rabiah al-Adawiyah yang dikirimkan oleh Aima kepada Khaled. Pun begitu, parah di hati hanya dia sahaja yang menelannya kerana cerita kecurangan sang suami tidak dipekungkan pada sesiapa hatta kedua ibu bapa. Dalam melayari bahtera, Khadijah menelan duka, menilai sang suami lewat e-mel-e-mel suami kepada buah hati. Pilunya hati hanya ALLAH yang mengetahui.

Berbagai-bagai cara dilakukan buat membalut luka di hati tetapi lara datang juga. Lambaian Masjidilharam membawanya ke sana dengan keizinan suami. Dia menemukan sesuatu di bumi anbia; Baitullah, Makam Nabi, Masjid Nabawi, Raudhah memberi pengertian baru dalam hidup Khadijah.

Berbekalkan kekuatan diri, setelah pulang ke tanah air, Khadijah mengambil keputusan untuk bersemuka dengan Khaled Irfan dan Aima Adawiyah.

Dia akur... andai badai rumah tangga melanda, kolek kecil teroleng-oleng di samudera besar, nakhoda hilang arah, bukan bererti punah sebuah cerita. Dugaan ALLAH datang dalam pelbagai cara. Bermunajatlah agar ditunjukkan ALLAH jalan keluar yang bermakna.

Dan dia yakin... andai seorang lelaki bergelar suami begitu enteng membuka ruang cinta baru untuk dihuni hati yang lain, tidak bermakna seorang wanita perlu menutup perasaan hati dek rasa kecewa. Dunia ini luas, sangat luas. Tempat manusia melampiaskan selangit cinta. Bukan hanya cinta sesama manusia tetapi yang lebih bermakna CINTA pada yang ESA!




Cerita Aku  Yang Kesedihan Membaca Novel ni :

Menjadi terlalu emosional ketika kesudahan noveL Bulan Berbisik ini membuatkan aku yang mempunyai air mata yang mahaL ini, menangis akhirnya. Mmg terlalu sedih bila meletakkan diri didalam batang tubuh Khadijah.

Ku kira, Khadijah itu sudah menjadi gila (kerana selalu bermonolog bersendirian) kerana terlalu tertekan ~ dengan menjadi suri rumah tangga, suami berlagak muda, anak yang mengidap epilepsi dan menghadapi masalah orang ketiga.

Novel ni menyelam hati seorang wanita yang sangat mendalam terhadap suami yang ku kira lebih banyak mementingkan diri sendiri dari mendidik hatinya menjadi manusia yang bersyukur kerana punya isteri yang sungguh setia, baik dan bijak mengurus rumahtangga. Khadijah yang dipandang kekampungan dan kebodohan dinilai terlalu rendah dan dianggap sebagai kaca.

Atas sifat ingin tau Khadijah meneroka ke alam Cyber membuatkan cerita ini terus menarik.


Khadijah..

"Saya mencanakan pertemuan ini untuk memudahkan peleraian yang kusut. Benang itu abang yang ikat sehingga abang tidak ketemukan pangkal dan hujungnya "

Indahnya bahasa Khadijah sehingga Khaled terpana. Buat pertam kali, dia melihat Khadijah seperti khalifah yang nyata. Bicaranya yang teratur, susunan lidahnya yang jitu dan raut wajahnya yang jujur. Sehingga sebelum ini, dia terselubung oleh keindahan itu. Bagaimanapun isterinya mampu berubah sebijak dan seunggul ini atau dia yang tidak pernah memberi kesempatan buat wanita di hadapannya ini untuk mengunggulkan diri.

Sekali lagi Khadijah memohon dengan lembut, memintanya bertenang. Seperti bocah bodoh yang akur, Khaled duduk. Sepasang kakinya seperti tidak terinjak ke bumi. Tangan wanita mengayun buaian itu benar-benar menggancang dunianya. Dunianya yang dipenuhi fantasi akhir-akhir ini.

Dia benar-benar mabuk kepayang dalam kelunakan mimpi siang dan malam. Cukup sekali hayunan, dunianya berantakan. Berhamburan isi hati, limpa, pedal, jantung dan ususnya. Ledakan itu menghasilkan kekohongan. Hidungnya mencium bau dari dalam tubuh. Bagai bangkai yang busuk di tengah dua kuntum mawar yang harum semerbak. Busuk kohong itu memang dari jiwanya.

Duduknya sebelah Khadijah tetapi matanya tidak sanggup menatap sekujur tubuh itu. Dia benar-benar tersungkur.

Kredit untuk Samsiah Mohd Nor. NoveL ini punyai jiwa.

1 comments:

Samsiah Mohd Nor said...

salam saya di sini http://samsiahmohdnor.blogspot.com/